Friday, May 14, 2010


Satu pemandangan matahari terbenam di Hong Kong..Owh!! Indahnya ciptaanMu Ya Allah..
Subhanallah..

Nikmat yang mana satu aku dustakan..
Kadang-kadang nikmat melihat yang Allah kurniakan nie digunakan di tempat yang tak sepatutnya..

Ampunkan dosa mataku ini Ya Allah..Aku insan lemah,punya iman yang kadang turun dan naik..Jangan Kau matikan aku dikala imanku turun Ya Allah..

Tajdid Iman: Keimanan rapuh punca hati resah

Bersama Dr Juanda Jaya
Manusia perlu elak dikuasai nafsu
PUNCA-PUNCA kesedihan - jika ada satu alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu adalah 'hati'. Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia. Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri.

Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya? Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu. Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu;
· Suka membuang masa. Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh membunuh. Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian, iaitu;

Pertama untuk Allah SWT; kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya dan ketiga untuk keluarga dan umatnya. Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.

Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan baik atau yang buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.
· Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu. Ada orang berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.

Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah anda. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung? Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.
· Kesedihan kerana melupakan Allah. Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah? Dalam surah Al-Hasyr ayat 19 Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.”

Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut;

Hari dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan sembahyang, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh. Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja.

Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A'raf: 179).

Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.

INFO: Hati sebagai alat kawalan manusia
· Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia.
· Orang yang merawat hatinya dengan pelbagai amalan dituntut syariah pasti akan mengenali diri.
· Hiburan berlebihan, sifat dengki, mengikut nafsu dan lupa kepada kebesaran Allah SWT penyebab kepada ‘kesedihan’ hati.
· Mukmin yang hatinya sentiasa menekankan tuntutan syariah akan membahagikan masa untuk Allah SWT, diri sendiri dan untuk keluarga serta umat

 

Akhlak serlahkan kedamaian

ISLAM dari segi terminologi bahasa berasal dari akar kata salam yang bererti damai. Jadi Islam itu bermaksud kedamaian dan Muslim pula adalah orang yang menggerak dan menegakkan kedamaian.
Pengertian ini lahir daripada esensi Islam itu sendiri adalah satu ajaran dan juga syariat yang akan menjamin kedamaian kepada seluruh umat manusia. Jika kita perhatikan Islam berpaksikan tiga tonggak utama menegakkan binaan Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak, nescaya disimpulkan bahawa ketiga-tiga tonggak itu memancarkan kedamaian dan kesejahteraan dalam erti yang sebenarnya.

Daripada aspek akidah, Islam adalah satu al-Din yang membimbing dan memimpin akal fikiran manusia untuk meyakini bahawa hanya terdapat satu kekuatan mutlak yang menguasai alam semesta ini iaitu Allah.

Hanya Allah yang layak diagungkan, disembah, dibesarkan, ditakuti dan juga dicintai. Justeru, manusia yang memfokuskan akal fikirannya pada Yang Maha Esa akan menemui kebahagiaan dan kedamaian sejati dalam hidupnya.

Sebaliknya manusia yang meyakini banyak unsur dan banyak kekuatan itu pasti tidak akan menemui kedamaian yang dicari-cari, malah dia pun tidak akan berasa tenang kerana dia harus memenuhi kehendak banyak pihak dan juga mencari simpati banyak unsur.

Segala tenaga dan juga akal fikirannya pula menjadi serba salah dan yang pastinya dia tidak akan menemui titik kedamaian itu. Manakala orang yang mengesakan Allah SWT hanya mencari keredaan Ilahi dan mengabdikan dirinya hanya ke hadrat Allah Yang Maha Agung.

Jika kita menelusuri syariat pula, dapat disimpulkan bahawa Islam mengajar umatnya supaya cintakan kedamaian dan berusaha pula mencipta kedamaian sejagat dalam pelbagai ruang lingkup kehidupan manusia bermula daripada sebuah institusi keluarga, sebuah masyarakat berdaulat dan sebuah bangsa merdeka.

Apabila syariat Islam dihayati dan diamalkan oleh segenap anggota masyarakat, maka akan terciptalah sebuah yang keluarga yang memiliki ciri-ciri sakinah, mawaddah dan rahmah sebagai mana yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” - (surah al-Rum, ayat 21).

Dalam lingkungan masyarakat pula, syariat Islam mengatur sistem muamalat yang unggul seperti urusan jual beli, sewa menyewa, upah, gadai, hutang dan sebagainya. Tujuan pensyariatan sistem muamalat Islam itu demi mewujudkan kedamaian. Dalam masa yang sama, Islam melarang beberapa amalan dan transaksi sebagaimana termaktub di dalam al-Quran dan hadis kerana ia berpotensi menimbulkan masalah dan konflik kepada masyarakat.

Justeru, Islam mengharamkan riba, judi, arak, zina, memakan harta anak yatim secara zalim, mencuri, merompak dan sebagainya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?” (Surah al-Maidah, ayat 91).

Arak akan menimbulkan kekeruhan dan huru hara akibat ada orang yang tidak berfikir secara normal. Judi pula akan mencetuskan bibit perbalahan dan perkelahian kerana ada rasa dengki, iri hati dan balas dendam.

Zina pula akan menjatuhkan maruah kemuliaan dan kehormatan seseorang atau sebuah keluarga, malah akan merosakkan sistem bermasyarakat. Hal ini kerana perzinaan akan mengkucar-kacirkan zuriat keturunan dan akhirnya menyebabkan pelaku zina dengan penderitaan batin yang amat mendalam.

Allah SWT melarang manusia daripada mendekati perkara yang membawa perzinaan, lebih-lebih lagi melakukannya. Untuk itu, setiap wanita muslimah diperintahkan mengenakan jilbab, pakaian labuh yang menutupi seluruh tubuhnya dan juga memakai pakaian yang tidak memperlihatkan bentuk tubuh badannya di samping kaum lelaki pula diperintahkan supaya menundukkan pandangan mata mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 30-31).

Seterusnya, menerusi akhlak pula, Islam menggariskan himpunan adab dan akhlak yang jika dihayati dan diamalkan secara menyeluruh akan menyerlahkan kedamaian yang diharapkan itu. Islam memerintahkan umatnya supaya saling mengingatkan ke arah kebaikan, berbuat adil kepada semua manusia walaupun kepada orang yang tidak seagama dengannya, memelihara persaudaraan sesama manusia, bahkan Rasulullah menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: “Orang Muslim itu adalah seorang yang dapat memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain.” (Hadis riwayat Ahmad).

Jelas di sini bahawa Islam daripada pelbagai dimensi dan sudut merupakan al-Din yang amat menitikberatkan aspek kedamaian. Perlu ditegaskan bahawa kedamaian dan kesejahteraan yang diimpikan itu hanya akan tercipta jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Renungan untuk kaum Hawa yang beriman..


Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa
Oleh:Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net
SOALAN
Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.
Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).
Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.
Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.
Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.
Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...
- Diera -
JAWAPAN
Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-
1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.
Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-
Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.
Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.
Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.
Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.
Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!
Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.
Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.
Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.
Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.
Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.
2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.
Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum
Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.
Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.
Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.
Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.
Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.
Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'
Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha
Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)
3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.
Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.
Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.
Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.
Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :
Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.
Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.
Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.
Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.
4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.
Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.
Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.
Selamat BEPRUASA SUNAT HARI TASYU'A DAN ASYURA.! (9 dan 10 Muharram iaitu pada 26 dan 27 Disember 2009 )
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
9 Muharram 1431
26 Disember 2009

Ubaidillah mimpi ditinggal akibat abai solat jemaah

RASULULLAH SAW menyatakan bahawa mengerjakan sembahyang dengan berjemaah itu dua puluh tujuh kali ganda darjatnya jika dibanding sembahyang seorang diri.


Ia bererti pahala sembahyang berjemaah lebih besar daripada sembahyang seorang diri.

Dalam pada itu, sembahyang berjemaah dapat meningkatkan ukhuwah, persatuan dan kesatuan.

Di dalam sembahyang tercermin kesamaan darjat.

Tidak ada yang tinggi atau rendah, tiada beza antara kaya dan miskin, berpangkat dan rakyat biasa.

Ada dikisahkan bahawa Ubaidillah bin Umar Al-Qawariri (guru Imam Bukhari, Muslim, dan Abu Dawud) berkata: “Aku sama sekali tidak pernah meninggalkan jemaah sembahyang Isyak.

Pada suatu malam, aku kedatangan tamu, sehingga tidak dapat menunaikan sembahyang Isyak dengan berjemaah.

Sesudah tamu itu pulang, aku segera pergi ke masjid di Basrah, barangkali ada yang belum mengerjakan sembahyang jemaah Isyak.

Ternyata semua orang melakukannya, sementara masjid telah terkunci. Kemudian aku pulang, hingga kemudian teringat suatu hadis: “Sesungguhnya sembahyang dengan berjemaah itu dua puluh tujuh kali lipat darjatnya jika dibanding dengan sembahyang seorang diri.”

Lalu aku mengerjakan sembahyang Isyak dua puluh tujuh kali, kemudian tidur.

Ketika tidur aku bermimpi melihat sekelompok orang menaiki kuda, kemudian aku mengejar mereka dengan kudaku.

Ketika hampir terkejar, ada salah seorang di antara mereka berkata: “Kamu tidak mungkin boleh mengejar kami. Sebab kami mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid, sementara kamu mengerjakan sembahyang secara bersendirian (munfarid) di rumah.” Selepas mendengar ucapan itu, lalu aku terjaga dan berasa sangat susah sekali.”

Oleh itu, seorang Muslim tidak sepatutnya mengabaikan sembahyang dengan berjemaah, lebih-lebih lagi sembahyang Isyak dan Subuh, begitu juga Asar, Zuhur dan Maghrib yang lebih baik secara berjemaah.

Berdasarkan kisah itu, dapat dimengerti betapa pentingnya nilai amalan sembahyang sehingga dengannya kita dapat selamat daripada ancaman seksa neraka, terhindar daripada ciri orang munafik dan dicatat sebagai mukmin kamil.

Di dunia menjadi insan terpuji disebabkan selalu bertindak disiplin dan sentiasa menghalau kemungkaran.

Sementara, di akhirat menjadi insan mulia disebabkan mendapatkan jaminan syurga.

Kepentingan Solat Berjemaah..Jom Solat Jemaah!!

FADHILAT SOLAT - BAB 2 (KEPENTINGAN SOLAT BERJEMAAH) - BAHAGIAN PERTAMA (KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH) - HADITH 2

Hazrat Abu Hurairah RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang yang bersolah secara berjemaah akan digandakan sebanyak dua puluh lima kali pahala lebih daripada orang yang bersolah bersendirian di rumah atau di kedai. Ini adalah kerana apabila seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolah maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat dan digugurkan satu dosa. Setelah bersolah, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus duduk menunggu untuk menunaikan solah yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solah selama masa dia menunggu solah tersebut.”

(Hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Untuk dikongsi bersama..

Asal usul Solat

SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan Dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. Pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama
:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua
:-
Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s.,iaitu tatkala Allah s.w.t. Telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

Rakaat pertama
:-
Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua
:-
Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya Dan juga anaknya.
Rakaat ketiga
:-
Bersyukur Dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat
:-
Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama
:-
Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua
:-
Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga
:-
Kelam dengan malam.
Rakaat keempat
:-
Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan Dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:

Rakaat pertama
:-
Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua
:-
Untuk menafikan tuduhan Dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga
:-
Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir.Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama
:-
Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua
:-
Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga
:-
Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat
:-
Dukacita terhadap anak Firaun.

Terbitkan makna dalam Kita mengerjakan solat
Semoga dengan memahami bacaan
Akan membuat Kita lebih khusuk dalam solat.


Allah Maha Besar

(
Takbiratulihram)

Doa Iftitah

Allah Maha Besar Dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi Dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit Dan bumi,
Dengan suasana lurus Dan berserah diri Dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,
Ibadatku,
Hidupku,
Matiku
Adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak Ada sekutu bagiNya Dan kepadaku diperintahkan untuk tidak
Menyekutukan bagiNya Dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai Hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah Dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai Dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia Dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi Dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
Kayakan daku,
Angkatlah darjatku,
Rezekikan daku,
Berilah aku hidayah,
Sihatkanlah daku Dan
Maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi Dan rahmat Allah serta
Keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami Dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi Dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami Dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad Dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim Dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad Dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim Dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.




"Wahai Tuhan, aku tak layak ke syurgaMu ...namun tak pula aku sanggup
ke NerakaMu....kami lah hamba yang mengharap belas darimu ."ya Allah
jadikan lah kami hamba2 Mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami .kedua
ibubapa kami .dosa semua umat2 Islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal
dunia"