Friday, May 14, 2010

 

Akhlak serlahkan kedamaian

ISLAM dari segi terminologi bahasa berasal dari akar kata salam yang bererti damai. Jadi Islam itu bermaksud kedamaian dan Muslim pula adalah orang yang menggerak dan menegakkan kedamaian.
Pengertian ini lahir daripada esensi Islam itu sendiri adalah satu ajaran dan juga syariat yang akan menjamin kedamaian kepada seluruh umat manusia. Jika kita perhatikan Islam berpaksikan tiga tonggak utama menegakkan binaan Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak, nescaya disimpulkan bahawa ketiga-tiga tonggak itu memancarkan kedamaian dan kesejahteraan dalam erti yang sebenarnya.

Daripada aspek akidah, Islam adalah satu al-Din yang membimbing dan memimpin akal fikiran manusia untuk meyakini bahawa hanya terdapat satu kekuatan mutlak yang menguasai alam semesta ini iaitu Allah.

Hanya Allah yang layak diagungkan, disembah, dibesarkan, ditakuti dan juga dicintai. Justeru, manusia yang memfokuskan akal fikirannya pada Yang Maha Esa akan menemui kebahagiaan dan kedamaian sejati dalam hidupnya.

Sebaliknya manusia yang meyakini banyak unsur dan banyak kekuatan itu pasti tidak akan menemui kedamaian yang dicari-cari, malah dia pun tidak akan berasa tenang kerana dia harus memenuhi kehendak banyak pihak dan juga mencari simpati banyak unsur.

Segala tenaga dan juga akal fikirannya pula menjadi serba salah dan yang pastinya dia tidak akan menemui titik kedamaian itu. Manakala orang yang mengesakan Allah SWT hanya mencari keredaan Ilahi dan mengabdikan dirinya hanya ke hadrat Allah Yang Maha Agung.

Jika kita menelusuri syariat pula, dapat disimpulkan bahawa Islam mengajar umatnya supaya cintakan kedamaian dan berusaha pula mencipta kedamaian sejagat dalam pelbagai ruang lingkup kehidupan manusia bermula daripada sebuah institusi keluarga, sebuah masyarakat berdaulat dan sebuah bangsa merdeka.

Apabila syariat Islam dihayati dan diamalkan oleh segenap anggota masyarakat, maka akan terciptalah sebuah yang keluarga yang memiliki ciri-ciri sakinah, mawaddah dan rahmah sebagai mana yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” - (surah al-Rum, ayat 21).

Dalam lingkungan masyarakat pula, syariat Islam mengatur sistem muamalat yang unggul seperti urusan jual beli, sewa menyewa, upah, gadai, hutang dan sebagainya. Tujuan pensyariatan sistem muamalat Islam itu demi mewujudkan kedamaian. Dalam masa yang sama, Islam melarang beberapa amalan dan transaksi sebagaimana termaktub di dalam al-Quran dan hadis kerana ia berpotensi menimbulkan masalah dan konflik kepada masyarakat.

Justeru, Islam mengharamkan riba, judi, arak, zina, memakan harta anak yatim secara zalim, mencuri, merompak dan sebagainya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?” (Surah al-Maidah, ayat 91).

Arak akan menimbulkan kekeruhan dan huru hara akibat ada orang yang tidak berfikir secara normal. Judi pula akan mencetuskan bibit perbalahan dan perkelahian kerana ada rasa dengki, iri hati dan balas dendam.

Zina pula akan menjatuhkan maruah kemuliaan dan kehormatan seseorang atau sebuah keluarga, malah akan merosakkan sistem bermasyarakat. Hal ini kerana perzinaan akan mengkucar-kacirkan zuriat keturunan dan akhirnya menyebabkan pelaku zina dengan penderitaan batin yang amat mendalam.

Allah SWT melarang manusia daripada mendekati perkara yang membawa perzinaan, lebih-lebih lagi melakukannya. Untuk itu, setiap wanita muslimah diperintahkan mengenakan jilbab, pakaian labuh yang menutupi seluruh tubuhnya dan juga memakai pakaian yang tidak memperlihatkan bentuk tubuh badannya di samping kaum lelaki pula diperintahkan supaya menundukkan pandangan mata mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 30-31).

Seterusnya, menerusi akhlak pula, Islam menggariskan himpunan adab dan akhlak yang jika dihayati dan diamalkan secara menyeluruh akan menyerlahkan kedamaian yang diharapkan itu. Islam memerintahkan umatnya supaya saling mengingatkan ke arah kebaikan, berbuat adil kepada semua manusia walaupun kepada orang yang tidak seagama dengannya, memelihara persaudaraan sesama manusia, bahkan Rasulullah menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: “Orang Muslim itu adalah seorang yang dapat memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain.” (Hadis riwayat Ahmad).

Jelas di sini bahawa Islam daripada pelbagai dimensi dan sudut merupakan al-Din yang amat menitikberatkan aspek kedamaian. Perlu ditegaskan bahawa kedamaian dan kesejahteraan yang diimpikan itu hanya akan tercipta jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment